Thursday, 19 April 2012

KONSEP TAMADUN BARAT

PENGENALAN

Tamadun Barat diasaskan kepada pemikiran yang bersumberkan Tamadun Greek Yunani dan Rom Purba yang muncul pada tahun 2000 S.M. Kedua-dua tamadun ini banyak memberi inspirasi kepada kemunculan dan kekuatan Tamadun Barat. Ini menjadikan Tamadun Barat tegak atas landasan idealisme sekular yang mementingkan pemikiran logik sebagaimana Tamadun Yunani yang lebih menekankan keagungan manusia dari faktor ketuhanan.

Pemikir dan golongan intelektual Yunani telah mencorakkan masyarakat Yunani ke arah pemisahan agama dari kehidupan keduniaan. Tokoh utama dalam zaman ini adalah Socrates, Plato dan Aristotale. Socrates dalam dialognya telah menegaskan bahawa "pada hakikatnya tidak ada nilai moral dan spiritual yang mutlak". Oleh itu, manusia hendaklah bergembira sepenuhnya dalam kehidupan dunia. Inilah matlamat utama kehidupan manusia, iaitu keseronokan pancaindera dan memenuhi runtunan hawa nafsu dan syahwat kehaiwanan. Mereka bergantung sepenuhnya kepada pemikiran akal tanpa merujuk atau dibantu oleh ajaran ketuhanan. Sehubungan ini, Abu Hassan Ali An-Nadawi (1984) telah menjelaskan ciri-ciri khusus Tamadun Yunani seperti berikut :

  1. Percaya kepada apa sahaja yang dapat dicapai oleh pacaindera
  2. Kurang rasa keagamaan dan kecintaan melampau kepada kehidupan dunia
  3. Fanatisme kebangsaan yang melampau

Oleh itu, pemikiran dan keinginan manusia menjadi sumber, rujukan dan matlamat utama dalam pembangunan dan pembinaan Tamadun Barat. Idealisme sekular merupakan tema yang dominan dalam Tamadun Barat.


SEJARAH TAMADUN BARAT

Kemunculan Tamadun Barat bermula dengan kebangkitan masyarakat Eropah yang tidak senang dengan pemerintahan golongan gereja katolik yang menindas, mengongkong dan menzalimi rakyat yang inginkan perubahan. Golongan gereja tidak menerima sebarang bentuk perubahan kecuali suatu idea dan kehendak yang muncul daripada golongan gereja sendiri. Akibatnya, muncul aliran baru dalma agama Kristian iaitu Protestan. Sementara itu, para pemikir dan pemimpin revolusi muncul dengan slogan baru yang berbunyi "Give it to ceaser what it is and give it to God what everythings belongs to God". Penafian hak gereja dalam seluruh sistem pemerintahan bermula apabila gereja diketepikan dan dianggap sebagai hak peribadi dan bukan lagi hak masyarakat dan negara.

Pergerakan para pemikir bertitik tolak dari fenomena ini yang membentuk satu corak baru dalam masyarakat barat iaitu kehidupan berasaskan kepada alam nyata yang ada di dunia. Corak ini termaksud dalam istilah sekularisma. Sekularisma menjadi titik tolak kepada zaman peralihan di barat daripada zaman gelap kepada zaman renaissance. Zaman renaissence yang berrti zaman "menghidupkan kembali Tamadun Yunani" menunjukkan pembinaan masyarakat baru barat adalah berasaskan sejarah Tamadun Yunani yang berasaskan logik akal.

Pengaliran Tamadun Islam ke Eropah sejak abad ke-9 hingga abad ke-12 M menjadi faktor utama pembukaan minda masyarakat barat yang datang ke Sepanyol dan Pulau Sicily yang berada di bawah kekuasaan Tamadun Islam di Eropah. Mereka datang untuk menimba ilmu pengetahuan yang dipelopori oleh para sarjana Islam. Kesedaran yang timbul telah mencetuskan "zaman peralihan" dan kemudiannya zaman renaissance di barat. Zaman ini telah menyebabkan pemikiran masyarakat terbuka luas dan secara tidak langsung menimbulkan permusuhan terhadap gereja yang berakhir dengan kejatuhan golongan gereja.

Gerakan renaissance di barat atau dikenal juga gerakan pencerahan selepas melalui zaman kegelapan hakikatnya adalah suatu gerakan untuk melepas diri dari unsur-unsur kerohanian dan cengkaman pihak gereja kerana ajarannya tidak lagi mampu menangani dan menyelesaikan masalah masyarakat, terutama dalam soal-soal hidup seharian dan perkembangan ilmu pengetahuan termasuk penyelidikan sains dan teknologi. Akhirnya lahir fahaman sekular yang memisahkan urusan kehidupan harian dengan persoalan agama. Asas masyarakat baru ini adalah  pemikiran materialistik, rasionalistik dan fizikal masyarakat Yunani dan Romawi Purba.

Sejurus berlakunya renaissance, muncul revolusi perindustrian di Perancis yang membangkitkan pemikiran masyarakat barat untuk maju dalam bidang sains dan teknologi. Penciptaan demi penciptaan telah diterokai oleh saintis barat. Antaranya teknologi perindustrian, kereta, kapal terbang, telefon dan lain-lain. Kilang-kilang yang menggerakkan perindustrian tumbuh bagai cendawan selepas hujan. Keadaan ini menyebabkan masyarakat mula mengagungkan sains moden barat. Pengetahuan dalam sains dan teknologi memberi jawapan kepada segala permasalahan dunia yang sebelum zaman ini hanya disandarkan kepada gereja. Kejayaan menjawab segala masalah ini mendorong ke arah pemikiran yang lebih ke hadapan yang akhirnya saintis barat berjaya mencipta roket untuk membawa angkasawan mereka menjelajah angkasa lepas dan akhirnya mendarat di bulan. 

KONSEP TAMADUN ISLAM

DEFINISI

Ibn Khaldun menjelaskan Tamadun Islam sebagai pencapaian manusia yang sudah melebihi keperluan asas kehidupan sehingga dapat membuka jalan ke arah pemikiran dan penghasilan daya cipta yang lebih halus dan mempunyai nilai estetika.

Konsep Tamadun Islam menyentuh beberapa aspek yang menetapkan world view Tamadun Islam. Penetapan aspek ini menjadi pembeza wajah antara Tamadun Islam dengan tamadun-tamadun lain. Aspek-aspek tersebut adalah seperti berikut :

  1. Aspek Manusia
    • Aspek manusia berkisar dalam tiga persoalan pokok, iaitu dari mana kita berasal, kenapa kita diwujudkan dan ke mana kita akan pergi. Jawapan kepada persoalan-persoalan ini akan menentukan hala tuju dan pembentukan Tamadun Islam.
  2. Aspek Masyarakat
    • Aspek masyarakat melibatkan perkara-perkara seperti hak untuk hidup, hak untuk bebas, maruah dan hak peribadi, hak berfikir, beragama dan mengeluarkan pendapat serta keadilan dan kehakiman.
  3. Aspek Sejarah
    • Aspek sejarah dalam Tamadun Islam merupakan satu mekanisma panduan, teladan dan sempadan. Pengajaran dari fakta sejarah akan mendorongkan seseorang melakukan atau meninggalkan suatu perbuatan. Kepentingan aspek ini terbukti pada sebahagian kandungan Al-Quran yang memaparkan sejarah umat yang silam dan juga sejarah para nabi. Sebagai contohnya, surah Maryam menceritakan kisah Maryam yang merupakan ibu kepada Nabi Isa as. Demikian juga surah Ali Imran menceritakan kisah keluarga Imran yang juga salasilah keluarga Nabi Isa as. Surah Ibrahim memaparkan kisah Nabi Ibrahim as termasuk kisahnya dibakar oleh Namrud, namun tidak terbakar. Kisah Nabi Musa dengan Firaun, Nabi Lut dengan umatnya, Nabi Nuh dilanda banjir besar, Nabi Ayob ditimpa penyakit, Nabi Syuib dengan tanamannya, Nabi Harun menjadi teman Nabi Musa, Nabi Khaidir dan nabi-nabi yang lain termasuk yang tidak dinyatakan namanya dengan jelas. Semua kisah sejarah ini bukan sekadar dipaparkan untuk memenuhkan Al-Quran tetapi dijadikan iktibar dan teladan perjalanan manusia hari ini dan akan datang.
Aspek-aspek manusia, masyarakat dan sejarah akan melahirkan tamadun agung, iaitu tamadun yang menepati matlamat pencapaian manusia, menghormati hak-hak asasi manusia dan menjadikan peristiwa silam sebagai dorongan ke arah penciptaan tamadun yang lebih dinamik.


ASAS TAMADUN ISLAM

Tamadun Islam terikat dengan beberapa perkara penting yang menjadi asas pembinaan tamadun. Antaranya ialah akidah, syariah, akhlak dan ilmu. Empat asas ini diikuti dengan asas keadilan, semangat kejiranan, toleransi dan kebebasan beragama sebagai pra-syarat Tamadun Islam. Asas-asas ini menjadikan Tamadun Islam tetap unggul walaupun tidak terbina di atas tapak sejarah awal Islam iaitu di Semenanjung Tanah Arab, khususnya di bumi Mekah Al-Mukarramah dan Madinah Al-Munawwarah.

  1. Akidah
    • merupakan satu konsep kepercayaan yang akan membentuk iman kepada Allah s.w.t, para rasul, para malaikat, kitab-kitab, hari akhirat dan qada' qadar Allah. Keyakinan kepada konsep tauhid kepada Allah memberi kesan dalam kehidupan manusia. Tauhid merupakan falsafah kehidupan dalam Islam dan menjadi asas kepada kelahiran tamadun. Keimanan kepada Allah s.w.t akan mengubah dan membentuk pandangan manusia terhadap tuhan, sesama manusia dan alam semesta.
    • zaman Nabi Muhammad s.a.w merupakan zaman kegemilangan Tamadun Islam, sama ada dalam aspek politik, pentadbiran mahupun ekonomi. Umat Islam telah berjaya membentuk sebuah kerajaan Islam yang kukuh di kota Madinah dengan berasaskan akidah. Akidah yang mantap telah membentuk sistem nilai, iaitu suatu sistem yang mengawal sifat dan bentuk ketamadunan.
  2. Syariah
    • merangkumi ibadah dan muamalah. Ibadah ialah peraturan-peraturan untuk melakukan peribadatan dan ketaatan kepada Allah s.w.t. Ia juga meliputi perilaku melaksanakan kebaikan kepada sesama manusia dan alam. Muamalah pula ialah peraturan perhubungan sesama manusia yang meliputi aspek akhlak, politik, ekonomi dan kemasyarakatan. Aspek syariah dalam Tamadun Islam dilihat sebagai pemangkin kepada keutuhan dan kecemerlangan tamadun. Ia juga menjadi pembeza antara Tamadun Islam dengan tamadun-tamadun lain. Melaksanakan keadilan pula adalah prinsip penting dalam perlaksanaan syariat Islam. Ia menjadi lambang kesucian Agama Islam. Pelaksanaan keadilan merupakan asas bagi setiap penyusunan masyarakt dan negara. Oleh itu, jika akidah boleh diibaratkan sebagai sumber inspirasi dalam menggerakkan tamadun, syariah pula adalah sebagai penunjuk jalan, penentu kaedah dan perlaksanaan Tamadun Islam.
  3. Akhlak
    • Merupakan mekanisme yang menggerakkan umat Islam menjadi umat yang bertamadun tinggi. Tanpa akhlak, Tamadun Islam yang terbina tidak mempunyai sebarang erti. Oleh itu, dalam ajaran Islam, akhlak merupakan pelengkap kepada akidah dan syariah. Imam Al-Ghazali menjelaskan akhlak merupakan suatu kebiasaan yang terdapat dalam diri manusia. Seseorang akan melakukan dengan mudah dan tidak perlu berfikir untuk menghasilkan perbuatan dan tingkah laku. Sekiranya tingkah laku seseorang itu indah dan terpuji ia dinamakan akhlak yang baik iaitu mahmudah, tetapi jika perbuatan atau tingkah laku itu keji ia dinamakan akhlak yang buruk iaitu mazmumah.
    • nilai akhlak sebagai satu unsur pembinaan tamadun sudah ada dalam tamadun-tamadun silam seperti Tamadun Yunani atau tamadun-tamadun lain. Walaubagaimanapun, nilai-nilai murni dalam nilai akhlak disempurnakan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Ini berdasarkan satu hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud "sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak".
    • Nilai paling utama dalam kehidupan manusia ialah nilai baik yang akan membentuk akhlak seseorang dan ia tidak ditentukan oleh akal manusia, sebaliknya oleh wahyu Allah s.w.t dan sunnah rasul-Nya. Nilai yang diketengahkan oleh ajaran Islam terbukti lebih sesuai dengan fitrah manusia. Oleh kerana itu, nilai dalam akhlak Islam mampu merentasi sempadan, masa dan geografi. Akhlak Islam amat berperanan membantu keutuhan sesebuah tamadun dalam rangka manusia melaksanakan amanah sebagai khalifah di dunia. Segala bentuk perlakuan yang berasaskan ajaran Islam membawa penganutnya mengamalkan akhlak yang mulia.

TAMADUN

PENDAHULUAN

Perbincangan tamadun dan ketamadunan oleh para sarjana tamadun banyak bertitik tolak daripada perbincangan istilah. Terdapat beberapa istilah yang dikaitkan dengan tamadun. Antara istilah yang sering digunakan ialah "Civilization" dalam Bahasa Inggeris, tamadun dan peradaban dalam Bahasa Melayu, "Maddana", "Umran" dan "Hadarah" dalam Bahasa Arab. Setiap istilah ini mempunyai maksud dan tafsirannya tersendiri. Peristilahan ini memberi kesan kepada definisi tamadun. Selain ini, definisi tamadun juga berbeza antara seorang sarjana dengan sarjana yang lain kerana mereka memberi tafsiran tamadun berdasarkan disiplin ilmu masing-masing. Ini menghasilkan definisi tamadun yang pelbagai berdasarkan dimensi yang berbeza. Bagi ahli antropologi, tamadun dikaitkan dengan kebudayaan. Ahli arkeologi pula menegaskan, tamadun dihubungkan dengan peninggalan bahan-bahan bukti (artifak) yang boleh digunakan oleh sejarawan dalam menyusun kisah sejarah masyarakat lampau.

Bagi para sarjana muslim Islam, tamadun bermula dengan pengutusan para nabi dan rasul. Pembentukan masyarakat bertamadun menurut acuan pencipta manusia adalah tujuan utama perutusan mereka. Para nabi dan rasul diberi amanat untuk meluruskan jalan kehidupan manusia dan menjadikan manusia umat yang bertamadun. Masyarakat yang bertamadun adalah masyarakat yang memiliki seluruh tingkat kemajuan kehidupan yang meliputi aspek spiritual dan material. Islam telah membekalkan asas-asas yang kukuh dan sumber yang mantap untuk manusia membina tamadun.

Menurut Islam, tamadun sesebuah bangsa itu akan terbina apabila wujudnya nilai-nilai baik dan mulia dalam sesebuah masyarakat. Seandainya sesebuah masyarakat mengabaikan nilai-nilai baik atau menyalahi matlamat utama pembinaan tamadun, maka masyarakat tersebut akan mengalami zaman keruntuhan.

PERISTILAHAN TAMADUN

Peristilahan tamadun yang sering memenuhi diskusi para sarjana ketamadunan terdiri daripada istilah-istilah berikut :
  • Umran
  • Hadharah
  • Madaniyah
  • Tamadun
  • Civilization
  • Peradaban
ISTILAH UMRAN DAN HADHARAH

Diperkenalkan oleh Ibn Khaldun (14M) dalam karya beliau yang terkenal berjudul Muqaddimah. Beliau menggunakan dua istilah ini untuk menggambarkan masyarakat yang bertamadun. Istilah Umran digunakan untuk menerangkan sifat-sifat fizikal tamadu; iaitu kawasan tanah yang didiami secara tetap dan aspek-aspek pembangunan yang wujud di satu-satu kawasan. Manakala Hadharah pula merujuk kepada kehidupan yang menetap. Oleh itu, istilah Umran digunakan untuk maksud pembangunan dan kuantiti penduduk sebagai hasil daripada kewujudan tamadun. Ini bermakna apabila organisasi sosial terbentuk maka bilangan penduduk bertambah besar. Sehubungan itu, tamadun akan terhasil.

Ibn Khaldun juga menentukan beberapa kriteria utama masyarakat yang bertamadun. Antaranya :
  • Aspek keagamaan
  • Organisasi sosial
  • Sistem perhubungan
  • Sistem perundangan
  • Bandar
  • Aspek kesenian - senibina, seni khat dll
Ibn Khaldun tidak meninggalkan peranan agama dalam pembentukan masyarakat bertamadun. Malah bagi beliau, agama memainkan peranan penting. Demikian juga peranan penting yang dimainkan oleh sistem perundangan kerana sistem ini mampu menghasilkan keadilan. Nilai keadilan amat besar pengaruhnya dalam menentukan jatuh bangun sesebuah tamadun. Bandar juga merupakan salah satu asas yang penting dalam pembinaan masyarakat yang bertamadun kerana kota atau bandar merupakan pusat pemerintahan dan kekuasaan. Oleh itu, pembangunan bandar mestilah menggunakan perancangan yang baik dan rapi. Antara faktor penting yang mesti diambilkira dalam perancangan sesebuah bandar adalah seperti berikut :
  • Udara yang bersih
  • Kemudahan asas yang lengkap seperti terusan sebagai jalan perhubungan
  • Sumber makanan asasi
  • Berhampiran dengan sumber binaan
  • Kawasan penternakan

ISTILAH MADANIYAH

Diperkenalkan oleh Muhammad Farid Wajdi (19M) dan Syeikh Muhammad Abduh (20M). Istilah ini juga merujuk kepada makna tamadun. Perkataan Madaniyah diambil daripada perkataan Madinah yang bermaksud bandar, kota atau city. Kota merupakan pusat peradaban atau tamadun. Ini jelas menunjukkan kaitan yang rapat antara keempat-empat perkataan ini. Keempat-empat perkataan ini juga sama dengan maksud perkataan civitas dalam Bahasa Latin. Oleh itu, civitas dan Madinah menjadi pusat dan lambang kemunculan tamadun.

ISTILAH CIVILIZATION

Dalam Bahasa Inggeris, istilah yang digunapakai untuk menggambarkan masyarakat yang bertamadun ialah civilization. Istilah ini diambil daripada perkataan Latin civitas yang bermaksud kota, di mana kota merupakan salah satu faktor penting kewujudan sesebuah tamadun. Civilization juga dihubungkan dengan perkataan civil yang bermaksud keadaan masyarakat yang mempunyai tahap kehidupan yang tinggi.

ISTILAH PERADABAN

Peradaban merupakan istilah dalam Bahasa Melayu yang sering dikaitkan dengan masyarakat yang bertamadun. Menurut kamus dewan, masyarakat yang beradab atau bertamadun ialah masyarakat yang memiliki tingkat kemajuan dalam kehidupan jasmani dan rohani. Tamadun dinyatakan sebagai satu keadaan masyarakat yang dicirikan atau didasarkan pada taraf kemajuan kebendaan serta perkembangan pemikiran samaada aspek sosial, budaya, politik dan lain-lain yang tinggi.

Pada dasarnya, istilah-istilah di atas merujuk kepada satu keadaan yang memiliki dua aspek pencapaian iaitu material dan spiritual dalam kehidupan. Kedua-dua pencapaian ini membentuk pencapaian asas dalam kehidupan masyarakat bertamadun. Antara pencapaian tersebut ialah :
  • Kehidupan beragama
  • Pembentukan kota sebagai pusat pemerintahan atau pembinaan tamadun
  • kehidupan menetap
  • kemunculan dan perkembangan ilmu dan kemahiran
  • tahap kehidupan yang tinggi iaitu kehidupan Hadarah bukannya Badawah
  • kewujudan rohani dan jasmani

MASYARAKAT MAJU

Pada masa kini, penggunaan istilah masyarakat maju lebih dominan daripada istilah masyarakat bertamadun. Masyarakat maju diertikan sebagai masyarakat yang mempunyai tahap kemajuan sains dan teknologi serta ekonomi yang berasaskan perindustrian. Justeru itu, muncul beberapa istilah khusus untuk menggambarkan tahap kemajuan sesebuah negara yang diukur dari aspek pembangunan. Pencapaian ini dibahagikan kepada empat kategori iaitu :
  1. Negara-negara maju (yang telah membangun). Antara negara-negara dalam kategori ini ialah :
    • Amerika Syarikat
    • Britain
    • Perancis
    • Kanada
    • Australia
    • New Zealand
    • Jepun
  2. Negara-negara yang mempunyai ekonomi yang stabil dan pembangunan yang pesat dalam jangka masa yang agak lama :
    • Republik rakyat China
    • Mexico
    • India
    • Malaysia
    • Thailand
  3. Negara-negara yang mempunyai rekod pembangunan yang kurang pesat :
    • Benua Afrika
    • Amerika Tengah
    • Wilayah-wilayah Caribbean (kecuali Jamaica dalam kategori kedua)
    • Arab
    • Asia Tenggara (kecuali Singapura - Kategori pertama, Filipina, Malaysia, Brunei dan Thailand - Kategori kedua)

CIRI-CIRI TAMADUN

Masyarakat yang bertamadun memiliki beberapa ciri yang menggambarkan masyarakat maju. Antaranya ialah penempatan kekal, revolusi pertanian, stratifikasi sosial, kehidupan beragama, urbanisasi, sistem tulisan, organisasi politik dan pengkhususan kerja.

PENEMPATAN KEKAL

Penempatan kekal merupakan salah satu perkara asas dalam mewujudkan masyarakat bertamadun. Penempatan kekal memungkinkan pembinaan kota dan bandar. Bermula dari kota dan bandar muncul pula unsur-unsur pembentukan tamadun yang lain. Penempatan kekal akan dipilih berdasarkan lokasi yang mempunyai ciri-ciri berikut :
  • kemudahan perhubungan seperti lembah sungai dan pesisir pantai atau telok
  • tanah yang subur bagi mewujudkan revolusi pertanian
  • kawasan yang selamat untuk penternakan
Contoh penempatan kekal pada sejarah awal masyarakat bertamadun ialah Tamadun Mesir yang bertempat di Lembah Sungai Nil, Tamadun Sumeria di Lembah Sungai Tigris dan Euphrates, Tamadun India di Lembah Indus, Tamadun Cina di Lembah Sungai Kuning dan Tamadun Melayu di pesisir Selat Melaka dan Selat Sunda.

REVOLUSI PERTANIAN

Revolusi pertanian merubah pertanian sebagai satu sumber sara hidup kepada pertanian berbentuk komersil. Revolusi ini merupakan salah satu bentuk peningkatan dalam tamadun. Revolusi ini juga mampu meningkatkan taraf kehidupan melalui kegiatan :
  • pengumpulan kekayaan daripada hasil perkembangan industri pertanian dan penternakan
  • revolusi pertanian adalah pra syarat penting mewujudkan peluang pekerjaan bagi menambah produktiviti dan melahirkan revolusi perdagangan.

KEHIDUPAN BERAGAMA

Kehidupan beragama merupakan salah satu ciri masyarakat bertamadun. Dalam Tamadun Islam, Ibn Khaldun menetapkan aspek ini sebagai perkara asas. Manakala sarjana barat yang turut memasukkan aspek agama sebagai salah satu ciri masyarakat bertamadun ialah Edward L. Farmer manakala R.A. Buchanan pula menyebut wujudnya upacara agama yang kompleks adalah ciri-ciri kerahiban. Hal ini bukan sahaja wujud semasa lahirnya Tamadun Islam yang menjadikan agama sebagai teras masyarakat bertamadun, namun Tamadun Islam juga banyak membuktikan aspek agama wujud dalam pembinaan tamadun. Ini dapat dilihat dengan adanya  perkara berikut :
  • kepercayaan
  • pemikiran tentang kuasa ghaib yang mengawal kehidupan
  • peninggalan bangunan keagaaman.