Thursday, 19 April 2012

TAMADUN

PENDAHULUAN

Perbincangan tamadun dan ketamadunan oleh para sarjana tamadun banyak bertitik tolak daripada perbincangan istilah. Terdapat beberapa istilah yang dikaitkan dengan tamadun. Antara istilah yang sering digunakan ialah "Civilization" dalam Bahasa Inggeris, tamadun dan peradaban dalam Bahasa Melayu, "Maddana", "Umran" dan "Hadarah" dalam Bahasa Arab. Setiap istilah ini mempunyai maksud dan tafsirannya tersendiri. Peristilahan ini memberi kesan kepada definisi tamadun. Selain ini, definisi tamadun juga berbeza antara seorang sarjana dengan sarjana yang lain kerana mereka memberi tafsiran tamadun berdasarkan disiplin ilmu masing-masing. Ini menghasilkan definisi tamadun yang pelbagai berdasarkan dimensi yang berbeza. Bagi ahli antropologi, tamadun dikaitkan dengan kebudayaan. Ahli arkeologi pula menegaskan, tamadun dihubungkan dengan peninggalan bahan-bahan bukti (artifak) yang boleh digunakan oleh sejarawan dalam menyusun kisah sejarah masyarakat lampau.

Bagi para sarjana muslim Islam, tamadun bermula dengan pengutusan para nabi dan rasul. Pembentukan masyarakat bertamadun menurut acuan pencipta manusia adalah tujuan utama perutusan mereka. Para nabi dan rasul diberi amanat untuk meluruskan jalan kehidupan manusia dan menjadikan manusia umat yang bertamadun. Masyarakat yang bertamadun adalah masyarakat yang memiliki seluruh tingkat kemajuan kehidupan yang meliputi aspek spiritual dan material. Islam telah membekalkan asas-asas yang kukuh dan sumber yang mantap untuk manusia membina tamadun.

Menurut Islam, tamadun sesebuah bangsa itu akan terbina apabila wujudnya nilai-nilai baik dan mulia dalam sesebuah masyarakat. Seandainya sesebuah masyarakat mengabaikan nilai-nilai baik atau menyalahi matlamat utama pembinaan tamadun, maka masyarakat tersebut akan mengalami zaman keruntuhan.

PERISTILAHAN TAMADUN

Peristilahan tamadun yang sering memenuhi diskusi para sarjana ketamadunan terdiri daripada istilah-istilah berikut :
  • Umran
  • Hadharah
  • Madaniyah
  • Tamadun
  • Civilization
  • Peradaban
ISTILAH UMRAN DAN HADHARAH

Diperkenalkan oleh Ibn Khaldun (14M) dalam karya beliau yang terkenal berjudul Muqaddimah. Beliau menggunakan dua istilah ini untuk menggambarkan masyarakat yang bertamadun. Istilah Umran digunakan untuk menerangkan sifat-sifat fizikal tamadu; iaitu kawasan tanah yang didiami secara tetap dan aspek-aspek pembangunan yang wujud di satu-satu kawasan. Manakala Hadharah pula merujuk kepada kehidupan yang menetap. Oleh itu, istilah Umran digunakan untuk maksud pembangunan dan kuantiti penduduk sebagai hasil daripada kewujudan tamadun. Ini bermakna apabila organisasi sosial terbentuk maka bilangan penduduk bertambah besar. Sehubungan itu, tamadun akan terhasil.

Ibn Khaldun juga menentukan beberapa kriteria utama masyarakat yang bertamadun. Antaranya :
  • Aspek keagamaan
  • Organisasi sosial
  • Sistem perhubungan
  • Sistem perundangan
  • Bandar
  • Aspek kesenian - senibina, seni khat dll
Ibn Khaldun tidak meninggalkan peranan agama dalam pembentukan masyarakat bertamadun. Malah bagi beliau, agama memainkan peranan penting. Demikian juga peranan penting yang dimainkan oleh sistem perundangan kerana sistem ini mampu menghasilkan keadilan. Nilai keadilan amat besar pengaruhnya dalam menentukan jatuh bangun sesebuah tamadun. Bandar juga merupakan salah satu asas yang penting dalam pembinaan masyarakat yang bertamadun kerana kota atau bandar merupakan pusat pemerintahan dan kekuasaan. Oleh itu, pembangunan bandar mestilah menggunakan perancangan yang baik dan rapi. Antara faktor penting yang mesti diambilkira dalam perancangan sesebuah bandar adalah seperti berikut :
  • Udara yang bersih
  • Kemudahan asas yang lengkap seperti terusan sebagai jalan perhubungan
  • Sumber makanan asasi
  • Berhampiran dengan sumber binaan
  • Kawasan penternakan

ISTILAH MADANIYAH

Diperkenalkan oleh Muhammad Farid Wajdi (19M) dan Syeikh Muhammad Abduh (20M). Istilah ini juga merujuk kepada makna tamadun. Perkataan Madaniyah diambil daripada perkataan Madinah yang bermaksud bandar, kota atau city. Kota merupakan pusat peradaban atau tamadun. Ini jelas menunjukkan kaitan yang rapat antara keempat-empat perkataan ini. Keempat-empat perkataan ini juga sama dengan maksud perkataan civitas dalam Bahasa Latin. Oleh itu, civitas dan Madinah menjadi pusat dan lambang kemunculan tamadun.

ISTILAH CIVILIZATION

Dalam Bahasa Inggeris, istilah yang digunapakai untuk menggambarkan masyarakat yang bertamadun ialah civilization. Istilah ini diambil daripada perkataan Latin civitas yang bermaksud kota, di mana kota merupakan salah satu faktor penting kewujudan sesebuah tamadun. Civilization juga dihubungkan dengan perkataan civil yang bermaksud keadaan masyarakat yang mempunyai tahap kehidupan yang tinggi.

ISTILAH PERADABAN

Peradaban merupakan istilah dalam Bahasa Melayu yang sering dikaitkan dengan masyarakat yang bertamadun. Menurut kamus dewan, masyarakat yang beradab atau bertamadun ialah masyarakat yang memiliki tingkat kemajuan dalam kehidupan jasmani dan rohani. Tamadun dinyatakan sebagai satu keadaan masyarakat yang dicirikan atau didasarkan pada taraf kemajuan kebendaan serta perkembangan pemikiran samaada aspek sosial, budaya, politik dan lain-lain yang tinggi.

Pada dasarnya, istilah-istilah di atas merujuk kepada satu keadaan yang memiliki dua aspek pencapaian iaitu material dan spiritual dalam kehidupan. Kedua-dua pencapaian ini membentuk pencapaian asas dalam kehidupan masyarakat bertamadun. Antara pencapaian tersebut ialah :
  • Kehidupan beragama
  • Pembentukan kota sebagai pusat pemerintahan atau pembinaan tamadun
  • kehidupan menetap
  • kemunculan dan perkembangan ilmu dan kemahiran
  • tahap kehidupan yang tinggi iaitu kehidupan Hadarah bukannya Badawah
  • kewujudan rohani dan jasmani

MASYARAKAT MAJU

Pada masa kini, penggunaan istilah masyarakat maju lebih dominan daripada istilah masyarakat bertamadun. Masyarakat maju diertikan sebagai masyarakat yang mempunyai tahap kemajuan sains dan teknologi serta ekonomi yang berasaskan perindustrian. Justeru itu, muncul beberapa istilah khusus untuk menggambarkan tahap kemajuan sesebuah negara yang diukur dari aspek pembangunan. Pencapaian ini dibahagikan kepada empat kategori iaitu :
  1. Negara-negara maju (yang telah membangun). Antara negara-negara dalam kategori ini ialah :
    • Amerika Syarikat
    • Britain
    • Perancis
    • Kanada
    • Australia
    • New Zealand
    • Jepun
  2. Negara-negara yang mempunyai ekonomi yang stabil dan pembangunan yang pesat dalam jangka masa yang agak lama :
    • Republik rakyat China
    • Mexico
    • India
    • Malaysia
    • Thailand
  3. Negara-negara yang mempunyai rekod pembangunan yang kurang pesat :
    • Benua Afrika
    • Amerika Tengah
    • Wilayah-wilayah Caribbean (kecuali Jamaica dalam kategori kedua)
    • Arab
    • Asia Tenggara (kecuali Singapura - Kategori pertama, Filipina, Malaysia, Brunei dan Thailand - Kategori kedua)

CIRI-CIRI TAMADUN

Masyarakat yang bertamadun memiliki beberapa ciri yang menggambarkan masyarakat maju. Antaranya ialah penempatan kekal, revolusi pertanian, stratifikasi sosial, kehidupan beragama, urbanisasi, sistem tulisan, organisasi politik dan pengkhususan kerja.

PENEMPATAN KEKAL

Penempatan kekal merupakan salah satu perkara asas dalam mewujudkan masyarakat bertamadun. Penempatan kekal memungkinkan pembinaan kota dan bandar. Bermula dari kota dan bandar muncul pula unsur-unsur pembentukan tamadun yang lain. Penempatan kekal akan dipilih berdasarkan lokasi yang mempunyai ciri-ciri berikut :
  • kemudahan perhubungan seperti lembah sungai dan pesisir pantai atau telok
  • tanah yang subur bagi mewujudkan revolusi pertanian
  • kawasan yang selamat untuk penternakan
Contoh penempatan kekal pada sejarah awal masyarakat bertamadun ialah Tamadun Mesir yang bertempat di Lembah Sungai Nil, Tamadun Sumeria di Lembah Sungai Tigris dan Euphrates, Tamadun India di Lembah Indus, Tamadun Cina di Lembah Sungai Kuning dan Tamadun Melayu di pesisir Selat Melaka dan Selat Sunda.

REVOLUSI PERTANIAN

Revolusi pertanian merubah pertanian sebagai satu sumber sara hidup kepada pertanian berbentuk komersil. Revolusi ini merupakan salah satu bentuk peningkatan dalam tamadun. Revolusi ini juga mampu meningkatkan taraf kehidupan melalui kegiatan :
  • pengumpulan kekayaan daripada hasil perkembangan industri pertanian dan penternakan
  • revolusi pertanian adalah pra syarat penting mewujudkan peluang pekerjaan bagi menambah produktiviti dan melahirkan revolusi perdagangan.

KEHIDUPAN BERAGAMA

Kehidupan beragama merupakan salah satu ciri masyarakat bertamadun. Dalam Tamadun Islam, Ibn Khaldun menetapkan aspek ini sebagai perkara asas. Manakala sarjana barat yang turut memasukkan aspek agama sebagai salah satu ciri masyarakat bertamadun ialah Edward L. Farmer manakala R.A. Buchanan pula menyebut wujudnya upacara agama yang kompleks adalah ciri-ciri kerahiban. Hal ini bukan sahaja wujud semasa lahirnya Tamadun Islam yang menjadikan agama sebagai teras masyarakat bertamadun, namun Tamadun Islam juga banyak membuktikan aspek agama wujud dalam pembinaan tamadun. Ini dapat dilihat dengan adanya  perkara berikut :
  • kepercayaan
  • pemikiran tentang kuasa ghaib yang mengawal kehidupan
  • peninggalan bangunan keagaaman.

No comments:

Post a Comment