DEFINISI
Ibn Khaldun menjelaskan Tamadun Islam sebagai pencapaian manusia yang sudah melebihi keperluan asas kehidupan sehingga dapat membuka jalan ke arah pemikiran dan penghasilan daya cipta yang lebih halus dan mempunyai nilai estetika.
Konsep Tamadun Islam menyentuh beberapa aspek yang menetapkan world view Tamadun Islam. Penetapan aspek ini menjadi pembeza wajah antara Tamadun Islam dengan tamadun-tamadun lain. Aspek-aspek tersebut adalah seperti berikut :
- Aspek Manusia
- Aspek manusia berkisar dalam tiga persoalan pokok, iaitu dari mana kita berasal, kenapa kita diwujudkan dan ke mana kita akan pergi. Jawapan kepada persoalan-persoalan ini akan menentukan hala tuju dan pembentukan Tamadun Islam.
- Aspek Masyarakat
- Aspek masyarakat melibatkan perkara-perkara seperti hak untuk hidup, hak untuk bebas, maruah dan hak peribadi, hak berfikir, beragama dan mengeluarkan pendapat serta keadilan dan kehakiman.
- Aspek Sejarah
- Aspek sejarah dalam Tamadun Islam merupakan satu mekanisma panduan, teladan dan sempadan. Pengajaran dari fakta sejarah akan mendorongkan seseorang melakukan atau meninggalkan suatu perbuatan. Kepentingan aspek ini terbukti pada sebahagian kandungan Al-Quran yang memaparkan sejarah umat yang silam dan juga sejarah para nabi. Sebagai contohnya, surah Maryam menceritakan kisah Maryam yang merupakan ibu kepada Nabi Isa as. Demikian juga surah Ali Imran menceritakan kisah keluarga Imran yang juga salasilah keluarga Nabi Isa as. Surah Ibrahim memaparkan kisah Nabi Ibrahim as termasuk kisahnya dibakar oleh Namrud, namun tidak terbakar. Kisah Nabi Musa dengan Firaun, Nabi Lut dengan umatnya, Nabi Nuh dilanda banjir besar, Nabi Ayob ditimpa penyakit, Nabi Syuib dengan tanamannya, Nabi Harun menjadi teman Nabi Musa, Nabi Khaidir dan nabi-nabi yang lain termasuk yang tidak dinyatakan namanya dengan jelas. Semua kisah sejarah ini bukan sekadar dipaparkan untuk memenuhkan Al-Quran tetapi dijadikan iktibar dan teladan perjalanan manusia hari ini dan akan datang.
Aspek-aspek manusia, masyarakat dan sejarah akan melahirkan tamadun agung, iaitu tamadun yang menepati matlamat pencapaian manusia, menghormati hak-hak asasi manusia dan menjadikan peristiwa silam sebagai dorongan ke arah penciptaan tamadun yang lebih dinamik.
ASAS TAMADUN ISLAM
Tamadun Islam terikat dengan beberapa perkara penting yang menjadi asas pembinaan tamadun. Antaranya ialah akidah, syariah, akhlak dan ilmu. Empat asas ini diikuti dengan asas keadilan, semangat kejiranan, toleransi dan kebebasan beragama sebagai pra-syarat Tamadun Islam. Asas-asas ini menjadikan Tamadun Islam tetap unggul walaupun tidak terbina di atas tapak sejarah awal Islam iaitu di Semenanjung Tanah Arab, khususnya di bumi Mekah Al-Mukarramah dan Madinah Al-Munawwarah.
- Akidah
- merupakan satu konsep kepercayaan yang akan membentuk iman kepada Allah s.w.t, para rasul, para malaikat, kitab-kitab, hari akhirat dan qada' qadar Allah. Keyakinan kepada konsep tauhid kepada Allah memberi kesan dalam kehidupan manusia. Tauhid merupakan falsafah kehidupan dalam Islam dan menjadi asas kepada kelahiran tamadun. Keimanan kepada Allah s.w.t akan mengubah dan membentuk pandangan manusia terhadap tuhan, sesama manusia dan alam semesta.
- zaman Nabi Muhammad s.a.w merupakan zaman kegemilangan Tamadun Islam, sama ada dalam aspek politik, pentadbiran mahupun ekonomi. Umat Islam telah berjaya membentuk sebuah kerajaan Islam yang kukuh di kota Madinah dengan berasaskan akidah. Akidah yang mantap telah membentuk sistem nilai, iaitu suatu sistem yang mengawal sifat dan bentuk ketamadunan.
- Syariah
- merangkumi ibadah dan muamalah. Ibadah ialah peraturan-peraturan untuk melakukan peribadatan dan ketaatan kepada Allah s.w.t. Ia juga meliputi perilaku melaksanakan kebaikan kepada sesama manusia dan alam. Muamalah pula ialah peraturan perhubungan sesama manusia yang meliputi aspek akhlak, politik, ekonomi dan kemasyarakatan. Aspek syariah dalam Tamadun Islam dilihat sebagai pemangkin kepada keutuhan dan kecemerlangan tamadun. Ia juga menjadi pembeza antara Tamadun Islam dengan tamadun-tamadun lain. Melaksanakan keadilan pula adalah prinsip penting dalam perlaksanaan syariat Islam. Ia menjadi lambang kesucian Agama Islam. Pelaksanaan keadilan merupakan asas bagi setiap penyusunan masyarakt dan negara. Oleh itu, jika akidah boleh diibaratkan sebagai sumber inspirasi dalam menggerakkan tamadun, syariah pula adalah sebagai penunjuk jalan, penentu kaedah dan perlaksanaan Tamadun Islam.
- Akhlak
- Merupakan mekanisme yang menggerakkan umat Islam menjadi umat yang bertamadun tinggi. Tanpa akhlak, Tamadun Islam yang terbina tidak mempunyai sebarang erti. Oleh itu, dalam ajaran Islam, akhlak merupakan pelengkap kepada akidah dan syariah. Imam Al-Ghazali menjelaskan akhlak merupakan suatu kebiasaan yang terdapat dalam diri manusia. Seseorang akan melakukan dengan mudah dan tidak perlu berfikir untuk menghasilkan perbuatan dan tingkah laku. Sekiranya tingkah laku seseorang itu indah dan terpuji ia dinamakan akhlak yang baik iaitu mahmudah, tetapi jika perbuatan atau tingkah laku itu keji ia dinamakan akhlak yang buruk iaitu mazmumah.
- nilai akhlak sebagai satu unsur pembinaan tamadun sudah ada dalam tamadun-tamadun silam seperti Tamadun Yunani atau tamadun-tamadun lain. Walaubagaimanapun, nilai-nilai murni dalam nilai akhlak disempurnakan oleh Nabi Muhammad s.a.w. Ini berdasarkan satu hadis Rasulullah s.a.w yang bermaksud "sesungguhnya aku diutuskan untuk menyempurnakan kemuliaan akhlak".
- Nilai paling utama dalam kehidupan manusia ialah nilai baik yang akan membentuk akhlak seseorang dan ia tidak ditentukan oleh akal manusia, sebaliknya oleh wahyu Allah s.w.t dan sunnah rasul-Nya. Nilai yang diketengahkan oleh ajaran Islam terbukti lebih sesuai dengan fitrah manusia. Oleh kerana itu, nilai dalam akhlak Islam mampu merentasi sempadan, masa dan geografi. Akhlak Islam amat berperanan membantu keutuhan sesebuah tamadun dalam rangka manusia melaksanakan amanah sebagai khalifah di dunia. Segala bentuk perlakuan yang berasaskan ajaran Islam membawa penganutnya mengamalkan akhlak yang mulia.
No comments:
Post a Comment